Hanya pertukaran kerajaan pusat mampu menyelamatkan Malaysia

Mari kita melangkah balik semula ke hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-12 yang lepas. Malam 8 Mac, 2008 yang bersejarah itu masih segar dalam ingatan. Berita hangat satu demi satu terpapar dalam media arus perdana dan media internet. Majoriti dua pertiga Umno/BN dalam Dewan Rakyat akhirnya berjaya dinafikan sejak empat dekad yang lepas. Pada malam itu juga, calon-calon pemimpin kanan Umno/BN tewas di kawasan tradisional gabungan politik tersebut. Pembangkang pula bukan saja berjaya mempertahankan kuasa pemerintahannya di negeri Kelantan, tetapi juga berjaya membentuk kerajaan negeri baharu di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, dibawah kerjasama Pakatan Rakyat. Rakyat jelata akhirnya nampak harapan baru dalam kegelapan di tanah air sendiri! Persoalannya, mampukah kita meneruskan momentum perubahan ini sehingga kerajaan Umno/BN ditumbangkan?

Keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil akhir-akhir ini yang memihak kepada Umno/BN serba sedikit akan memberi tamparan kepada Pakatan Rakyat. Seandainya keputusan-keputusan tersebut dijadikan petunjuk trend pengundi di seluruh negara, kesimpulan yang dapat dibuat adalah rakyat Malaysia memang terlalu bermurah hati dengan Umno/BN. Adakah kekejaman, kezaliman serta penyalahgunaan kuasa rejim Umno/BN boleh dihalalkan dengan beberapa janji manis, penyediaan kemudahan asas yang merupakan hak rakyat dan program-program kerajaan yang penuh dengan motif politik?

Bayangkan dalam dunia yang bertamadun ini, anda boleh ditahan oleh pihak kerajaan tanpa sebarang bukti serta tidak berhak untuk mendapatkan pembelaan di mahkamah. Dalam tahanan pula, hak-hak asasi sering dicabuli oleh pihak berkuasa akibat kerajaan yang tidak mengambil serius terhadap hal tersebut. Menurut statistik daripada Majlis Peguam, sebanyak 1,535 kematian dalam tahanan telah berlaku sehingga tahun 2009.

Bayangkan juga dalam era pro-demokrasi ini, anda tidak berhak untuk menyertai perhimpunan awam seandainya anda tidak sehaluan dengan pendirian Umno/BN, biarpun tunjuk perasaan merupakan hak rakyat jelata yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara. Selain itu, pihak penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, yang sering dikaitkan dengan korupsi akan gagal berfungsi dalam penguatkuasaan undang-undang negara. Krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak dua tahun lepas turut menyaksikan doktrin pengasingan kuasa yang gagal berfungsi. Kebebasan kehakiman sering menjadi pertikaian pengamal undang-undang dan pelbagai pihak di negara ini. Lantaran institusi-institusi negara yang gagal dalam memainkan peranannya, keadilan tidak akan dapat ditegakkan.

Bagaimanapun, kejahilan rakyat Malaysia terhadap hak asasi manusia merupakan punca utama yang memberi laluan kepada Umno/BN untuk terus berkuasa di negara ini. Malah, mereka juga tidak sedar bahawa wujudnya Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara yang menjamin hak asasi rakyatnya. Oleh itu, kebanyakan mereka tidak sedar bahawa hak-hak perlembagaan mereka telah dicabuli dan sebaliknya, menganggap gimik politik Umno/BN sebagai “rahmat”. Mungkin anda tidak merasai kegelapan yang diceritakan, tetapi apakah anda akan menjadi mangsa kezaliman kerajaan Umno/BN yang seterusnya? Mereka yang pernah menderita dibawah kekejaman jentera kerajaan Umno/BN tentu dapat menghayatinya.

Selain kehancuran dalam aspek rohani, Malaysia terus ketinggalan dalam aspek pembangunannya. Apabila kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, negara ini adalah antara yang paling maju di rantau Asia ini selain Jepun. Pada ketika itu, kita lebih maju daripada Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Selain salah urus sumber negara, penghijrahan cendekiawan ke luar negara (brain drain) juga merupakan punca kemunduran ekonomi nasional. Mereka yang berbakat bukan saja tidak mendapat tempat di tanah air sendiri, malah kesetiaan mereka kepada negara ini sering dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu. Perasaan kecewa telah memaksa golongan cerdik pandai tersebut untuk meninggalkan tanah air dan menyumbang bakat mereka kepada negara asing yang menawarkan peluang saksama.

Marilah kita merenung apakah akan berlaku kepada negara ini seandainya Umno/BN terus mentadbir untuk 50 tahun yang akan datang. Apakah pada ketika itu kita akan berada di barisan belakang negara dunia ketiga Timur Tengah hari ini yang telah bangkit menentang kerajaan mereka? Pertukaran kerajaan persekutuan merupakan satu-satunya pilihan untuk mengubah nasib negara ini. Pertukaran kerajaan pusat tentunya perlu melalui proses demokrasi, iaitu Pilihan Raya Umum yang bebas dan adil, dan bukannya melalui rampasan kuasa yang tidak demokratik dan tidak bermaruah seperti yang dilakukan oleh Umno/BN dalam merampas kerajaan negeri Perak dua tahun lepas.

0 comments:

Post a Comment