1Malaysia Mahukan Perubahan!

Perkataan ‘Perubahan’, ‘Reformasi’ dan ‘Harapan Baru’ menjadi tema pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum ke-12 yang lepas. Sebanyak 48 peratus daripada pembuang undi telah mengundi agenda tersebut dan menolak calon Umno/BN sebagai wakil mereka dalam Dewan Rakyat, termasuk pemimpin-pemimpin kanan parti itu – Dato Seri S Samy Vellu, Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Keputusan mengejut itu, bagaimanapun masih tidak mendapat kesediaan pucuk pimpinan parti itu untuk melaksanakan perubahan yang dapat membela nasib rakyat, setelah 2 tahun mereka dilanda tsunami politik.

Biarpun peralihan kuasa dalam Umno telah dilakukan pada April tahun lepas, dengan gagasan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ menjadi modal untuk meraih sokongan pengundi, tetapi apa yang dapat disimpulkan adalah, pentadbiran Dato Seri Najib Tun Razak lebih teruk daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Imej pemimpin nombor satu itu telah tercalar sejak zaman pra-pemerintahannya lagi – rampasan kuasa kerajaan negeri Perak yang penuh dengan kontroversi serta isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu. Penilaian orang ramai terhadap pemerintahan baru bertambah buruk apabila berlakunya kematian mengejut Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, Teoh Beng Hock yang ditemui di Plaza Massalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kematian Teoh tentu telah menghancurkan apa jua kredibiliti SPRM yang usianya belum sampai setahun pada ketika itu.

Korupsi dikatakan semakin serius apabila Malaysia mencatatkan rekod terburuk dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun lepas, setelah penubuhan SPRM yang menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini, dengan memperolehi 4.5 mata dalam indeks tersebut, berbanding dengan 5.1 mata pada tahun 2007 dan 2008. CPI bagi Hong Kong yang SPRM menjadikannya sebagai teladan pula, mencatatkan 8.2 mata. Mengapa pencapaian negara ini semakin jauh di belakang Hong Kong bagi aspek tersebut, apabila SPRM dikatakan setanding atau lebih baik daripada ICAC (Independent Commission Against Corruption) yang merupakan antara badan pencegah rasuah yang terkenal di dunia?

Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib kini dilihat berada dalam kedudukan kewangan yang kritikal, seperti yang dikatakan oleh Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad. Yang mana, kementerian dan agensi kerajaan telah diarah untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah. Selain itu, cadangan pengenalan jenis cukai baru, cukai barang dan perkhidmatan (GST), penghapusan subsidi-subsidi tertentu serta angan-angan kerajaan Umno/BN untuk menghapuskan subsidi petroleum telah menunjukkan kerajaan Umno/BN sedang mengalami masalah kewangan serius. Bagaimana dikatakan ‘Rakyat Didahulukan’ apabila rakyat terus menjadi mangsa jenayah rasuah, dengan memindahkan beban itu kepada mereka?

Sejurus selepas Najib mengambil alih tambuk kuasa, beliau telah membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta menarik balik penggantungan penerbitan dua buah akhbar pembangkang, konon-konon kerajaan pimpinan beliau lebih terbuka. Bagaimanapun, tindakan itu terbukti gimik semata-mata, yang mana, hak asasi rakyat jelata tetap dinafikan dengan wujudnya akta-akta draconian yang membolehkan kerajaan Umno/BN menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan yang adil di mahkamah. Penafian hak tahanan untuk mendapatkan khidmat guaman oleh anggota polis juga kerap berlaku, malah peguam-peguam yang memberi khidmat guaman kepada anak guam mereka turut ditahan. Hal ini adalah serius kerana apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta Kanun Prosedur Jenayah, telah dilanggari.

Kadang kala, konsep ‘1Malaysia’ agak sukar difahami apabila media yang menyiarkan iklan tersebut, turut menyiarkan propaganda yang berasaskan perkauman sempit. Selain itu, wujud kumpulan-kumpulan yang mengakui sendiri ahli Umno, menganjurkan tunjuk perasaan yang jelas menyentuh sensitiviti agama, dengan menggunakan nama Islam dan ‘1Malaysia’. Yang lebih menghairankan adalah perhimpunan tanpa permit yang dianjurkan itu tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Kebebasan berhimpun memang menjadi hak asasi setiap rakyat Malaysia, tetapi persoalannya, mengapa perhimpunan-perhimpunan anjuran pendesak kerajaan Umno/BN pula disekat oleh pihak berkuasa – anti-ISA, Bersih, Hindraf dan sebagainya? Bukankah ini satu penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk kepentingan politik parti pemerintah?

Apa yang jelas adalah Umno/BN tidak akan berubah dengan sendirinya, biarpun berada dalam keadaan terdesak. Oleh itu, rakyat perlu mengubah kerajaan tersebut. Mungkin Pakatan Rakyat bukan yang terbaik, tetapi apa yang pasti adalah ia jauh lebih baik daripada Umno/BN.

(Biarpun seramai 3.8 juta daripada 7.88 juta pengundi membuang undi mereka untuk Pakatan Rakyat, namun, pembahagian kawasan parlimen yang tidak adil telah membolehkan Umno/BN memerintah dengan memperolehi 63 peratus kerusi Dewan Rakyat, sedangkan undi keseluruhan yang diperolehinya hanya 52 peratus.)

0 comments:

Post a Comment