Lagi cabaran buat pengundi

(Artikel ini ditulis bukan khusus untuk mengulas kontroversi penggunaan nama ‘Allah’, tetapi adalah cabaran pengundi dan Pakatan Rakyat dalam merealisasikan sistem dua parti. Sebarang komen amat dialu-alukan)

Jelasnya, Umno/BN tidak memihak kepada kebenaran, tetapi mereka memihak kepada apa saja yang dapat meraih sokongan pengundi Melayu, memandangkan majoriti pengundi adalah daripada kaum tersebut. Sama ada Umno/BN akan kekal kuasa atau tumbang pada pilihan raya umum yang akan datang adalah terletak pada tangan pengundi Melayu. Pengundi Melayulah yang menjadi penentu politik masa depan negara.

Kontroversi penggunaan nama ‘Allah’ oleh penganut bukan Islam yang tercetus baru-baru ini, Umno/BN menjadi ‘juara’ dalam menentang keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa nama ‘Allah’ sah digunakan oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Demonstrasi menentang keputusan mahkamah itu telah dirancang diadakan di seluruh negara oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi Umno/BN, dan nampaknya ia telah diberi lampu hijau oleh kabinet apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong pandangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa mereka tidak boleh menghalang orang ramai untuk memprotes.

Kebebasan berhimpun memang adalah hak asasi setiap rakyat Malaysia. Tetapi persoalannya, mengapa ini tidak diaplikasikan dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh pendesak mereka seperti Bersih, Hindraf, anti-ISA dan sebagainya? Dimana, rakyat ditembak dengan gas pemedih mata dan meriam air dengan teruk, dikawal ketat dengan anggota-anggota FRU. Penunjuk-penunjuk perasaan pun belum memulakan demonstrasi mereka, ratusan pula telah ditangkap secara tidak munasabah termasuk peguam yang memberi khidmat guaman kepada klien mereka.

Perlu ditegaskan bahawa penyataan ini bukanlah mahu layanan yang sama diberikan kepada demonstrasi menentang Catholic Church, tetapi untuk menunjukkan bahawa wujudnya mainan politik perkauman oleh Umno/BN untuk kekal kuasa. Selain itu, demonstrasi kepala lembu yang jelas menyentuh sensitiviti agama yang dibiarkan oleh pihak berkuasa, malah dipertahankan oleh Hishammuddin pada hari kemudian, jelas menunjukkan Umno/BN mahu mewujudkan ketegangan kaum di negara ini.

Mainan politik berlandaskan perkauman sempit oleh Umno/BN adalah cabaran bagi rakyat Malaysia serta Pakatan Rakyat, khasnya PAS dan ahli-ahli Melayu dari PKR, untuk merealisasikan sistem dua parti di negara ini. Kalau kita termakan dengan taktik kotor Umno/BN itu, tentu harapan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum yang akan datang, akan terkubur.

0 comments:

Post a Comment